IPOH - Kira-kira 500 orang menyertai program jalan kaki pagi tadi sebagai tanda berkongsi rasa sedih dan simpati terhadap tragedi Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) di Ukraine bulan lepas.
Program anjuran badan bukan kerajaan Soroptimist International (SI) Ipoh itu berlangsung pada pukul 7.30 pagi di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini atau lebih popular dengan nama 'Padang Polo'.
Pelbagai lapisan masyarakat terutama dari sekitar Ipoh berjalan mengelilingi taman rekreasi itu selepas menandatangani buku peringatan.
Mereka mengenakan baju berwarna putih serta membawa 298 batang bunga kekwa putih yang menjadi simbolik kepada jumlah mangsa dalam nahas itu.
Sebanyak 298 belon berwarna putih juga dilepaskan ke udara pada akhir program itu.
Presiden SI Ipoh, Lanka Devi Sinniah berkata program itu sebagai antara tanda prihatin dan sokongan mereka terhadap keluarga serta mangsa tragedi tersebut.
"Ini inisiatif kita dalam melahirkan rasa simpati yang mendalam dan sedih terhadap mereka yang tidak bernasib baik yang terkorban dalam nahas itu," katanya ketika ditemui pemberita.
Katanya buku peringatan yang ditandatangani itu akan diserahkan kepada MAS sebagai tanda ingatan peserta program berkenaan. - Bernama
0 Response to "500 orang berjalan kaki bawa bunga kekwa putih"
Post a Comment