Suspek bunuh Siti Soffea miliki 4 rekod jenayah





Mayat suspek bunuh kanak-kanak ditemui

KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengesahkan suspek kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan, Siti Soffea Emelda, memiliki empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan memiliki senjata berbahaya.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata suspek berusia 27 tahun itu disahkan warga tempatan berasal dari Kulim, Kedah dan memiliki dua rekod kesalahan dadah selain mencuri kenderaan serta memiliki senjata berbahaya.
 
Suspek dikesan menetap di Lorong Tiong Nam, Jalan Raja Laut, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
 
Kong Meng berkata dengan pengesahan laporan cap jari yang diperoleh polis, waris si mati yang berada di Sungai Petani dan Kulim akan dihubungi untuk membuat pengecaman ke atas mayat dan seterusnya urusan penyerahan untuk pengebumian.
 
Polis turut mengesahkan mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran Plaza Tol Sunway pada Sabtu lepas, adalah suspek kes pembunuhan Siti Soffea Emelda.
 
Identiti suspek dikenal pasti daripada analisis cap jari di bahagian Rekod Jenayah Polis.
 
Khamis lepas, kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan itu dibunuh kejam dengan kepalanya terputus daripada badan dipercayai dikelar suspek di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur, Jalan Hishammudin di sini.
    
Dalam pada itu, Kong Meng berkata selain memfokuskan siasatan terhadap motif pembunuhan, polis juga meneliti kemungkinan wujudnya 'kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan' terhadap penjaga Siti Soffea Emelda.
 
Beliau berkata ia diperuntuk di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2011 (Akta 611) dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Katanya, polis masih dalam proses mengenal pasti motif pembunuhan kanak-kanak itu dan mengambil keterangan beberapa saksi. - Bernama






0 Response to "Suspek bunuh Siti Soffea miliki 4 rekod jenayah"

Post a Comment